top of page

SIAPAKAH SAKAI?

Lelaki dari Suku Kaum Senoi

Awalan

Pencarian menerusi laman maya melalui pautan blog telah menemukan penulis dengan satu istilah dalam bahasa slanga yang dinyatakan menjadi trend golongan remaja masa kini yang meggunakan istilah ini dalam perbualan, pada mereka SAKAI ini bermaksud Sayang Awak Kerana Awak Istimewa. Melucukan, namun itulah yang berlaku pada masa kini dikalangan para remaja, ada yang secara sinis menyatakan golongan remaja pada masa kini telah terlalu moden hingga lupa maksud sebenar sakai ini.


Maksud

Kamus Dewan Online kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia) melalui pautan prpm.dbb.gov.my menyediakan beberapa maksud dari istilah ini, dikongsikan dua daripada maksud sakai:


  • Orang yang di bawah perintah; orang bawahan yang boleh disuruh-suruh

  • Nama yang dipakai untuk orang asli (pada umumnya)


Hasil carian ini jelas memberi gambaran kepada kita bahawa pada umumnya nama Sakai merujuk kepada Orang Asli, pengelibatan mereka dalam masyarakat umum merubah pengertian terhadap istilah sakai itu sendiri dengan merujuk kepada sekelompak individu yang berkhidmat sebagai orang bawahan namun mereka bukan hamba abdi.


Orang Asli

Masyarakat ini sebahagian besar mendiami bahagian pedalaman Semenanjung Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengklasifikasi masyarakat Orang Asli kepada tiga suku kaum besar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto.


Negrito

Suku kaum ini pula terbahagi kepada enam suku iaitu:

  • Kensiu

  • Kintak

  • Lanoh

  • Jahai

  • Mendriq

  • Bateq


Orang Kensiu pada asalnya merupakan satu suku kaum yang gemar berpindah randah sekitar kawasan utara Semenanjung dengan tujuan utama mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan makanan, semenjak mendapat pembelaan daripada pihak Kerajaan Malaysia mereka mula tinggal pada satu lokasi sahaja. Populasi masyarakat ini sebenarnya tidak begitu besar dimana ia sekadar berjumlah sekitar 204 orang dengan 39 keluarga, kesemua mereka menetap di Kampung Lubuk Lenggong, Baling, Kedah. Orang Kintak pula berjumlah 112 orang dengan 25 keluarga, mereka mendiami sebuah perkampung di pinggir Gerik, Hulu Perak. Orang Lanoh pula mendiami tiga buah kampung juga sekitar Gerik dan mereka berjumlah seramai 359 orang, seperti mana dua suku kaum awal yang dinyatakan orang-orang Lanoh juga gemar hidup secara berpindah randah bagaimanpun mereka mula meniggalkan amalan tersebut setelah mendapat perhatian daripada pihak berwajib.


Masyarakat Jahai agak berbeza dengan tiga suku kaum awal yang disebutkan, mereka merupakan satu daripada Suku Kaum Negrito iaitu suku kaum yang terkecil berbanding dengan kaum Senoi dan Proto-Malay (Melayu Asli), mereka juga kelihatan mempunyai peradaban asas, mereka mempunyai kemahiran tersendiri dalam membina rumah daripada buluh dengan bentuk rumah mereka seperti bentuk pisang sesikat dan bumbung pula dibuat daripada daun pokok bertam dan tepus. Masyarakat ini tinggal di kuala sungai dan perairan tasik sekitar negeri Perak, terutama di kawasan Hulu Perak iaitu Banun, Sungai Tiang dan Persisiran Empangan Temenggor, di Kelantan pula, mereka bertumpu di Sungai Rual dan Jeli di Hulu Kelantan.


Masyarakat Mendriq diisyaratkan sebagai komuniti primitif yang gemar berpindah randah, bagaimanapun kehidupan mereka bertambah baik setelah mendapat pembelaan, majoriti masyarakat ini mendiami kawasan pedalaman Kelantan iaitu sekitar Gua Musang, populasi mereka berjumlah 82 orang dengan 14 keluarga. Suku kaum Bateq pula ramai mendiami kawasan utara pedalaman Pahang, barat Terengganu dan Selatan Kelantan, populasi mereka di Pahang sejumlah 550 orang dengan 100 keluarga, di Terengganu populasi mereka seramai 41 orang dengan 12 keluarga, manakala di Kelantan terdapat 413 orang dengan 84 keluarga.



Senoi

Suku kaum ini pula terbahagi kepada enam suku iaitu:

  • Chewong

  • Mahmeri

  • Jahut

  • Semoq Beri

  • Semai

  • Temiar


Majoriti kaum senoi mendiami kawasan lereng Titiwangsa iaitu di pedalaman Perak, Kelantan dan Pahang, sebahagian daripada masyarakat ini memiliki kebudayaan yang unik serta kuat mengamalkan fahaman animisme seperti suku kaum Temiar dalam pemilihan lokasi penempatan mereka di sesuatu tempat ditentukan oleh Penghulu. Ini dilakukan dengan cara Berhalaq (jampi) atau mimpi. Tempat yang hendak didiami jauh dari tanah perkuburan, bebas daripada adanya kayu keras seperti merbau dan sebagainya. Mereka juga tidak membuat penempatan di kawasan berpaya (takungan air) kerana ditakuti berpenunggu. Begitu juga kawasan air terjun dan sungai besar juga tidak sesuai kerana ditakuti ada puteri sungai/lata yang akan mengganggu. Mereka membina rumah daripada kayu (selain daripada kayu jenis keras) secara bergotong- royong. Di peringkat awal petempatan, mereka membina rumah panjang. Setelah beberapa lama tinggal di rumah panjang terebut, barulah mereka berpindah dengan keluarga masing-masing dan membina rumah sendiri. Mereka menyara keluarga dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuh-tumbuhan hutan.


Suku kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Bancian pada tahun 1993 menunjukkan jumlah mereka telah meningkat lebih daripada 42,000 orang dan merupakan suku kaum Orang Asli yang terbesar jumlahnya. Mereka hidup bermasyarakat. Sebuah kampung biasanya terdapat di antara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang Penghulu atau Batin yang dilantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat.


Orang Semoq Beri tinggal di kawasan pinggir Pahang dan Terengganu. Satu ketika dahulu Orang Semoq Beri berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan. Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk meningkatkan ekonomi rakyat, kini Orang Semoq Beri sudah mula mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.


Di negeri Pahang terdapat terdapat 5 buah kampung di Jerantut yang berjumlah 95 keluarga seramai 735 orang. Daerah Maran berjumlah 5 buah kampung terdiri 197 keluarga seramai 935 orang dan daerah Kuantan terdapat 2 buah kampung berjumlah 67 kelamin seramai 366 orang. Di negeri Terengganu terdapat terdapat 1 buah kampung di Hulu Terengganu yang berjumlah 42 keluarga seramai 185 orang. Daerah Kemaman berjumlah 2 buah kampung terdiri 69 keluarga seramai 284 orang.


Suku Bangsa Jahut terdapat di daerah Temerloh dan Jerantut di Negeri Pahang. Di daerah Temerloh mereka tinggal di kawasan-kawasan yang dipanggil Kerdau-Paya Paleng, Paya Mengkuang, Kuala Krau – Penderas, Mendoi, Seboi, Pasu, Piau dan Galong. Di daerah Jerantut mereka tinggal di Sungai Kiol dan Kekwel (Kol). Mereka menyara hidup dengan mencari rotan dan damar untuk dijual, di samping menangkap ikan, memburu binatang dan berladang dengan menanam padi huma, jagung dan ubi.


Mah Meri bermakna \”Orang Hutan\” sementara dalam istilah bahawa Mah Meri disebut \”bersisik\”. Mereka juga dikenali sebagai orang laut kerana mereka tinggal berhampiran dengan laut dan bekerja sebagai nelayan. Tidak ada bukti sejarah yang tepat ditentang asal-usul mereka, walau bagaimanapun mereka ini dipercayai berhijrah dari pulau-pulau di selatan Johor ke pantai negeri Selangor kerana lari dari musuh. Kini masyarakat Mah Meri telah mengalami perubahan dari segi pemikiran dan pembangunan hasil dari percampuran dengan masyarakat lain.


Orang Che Wong tinggal kawasan pinggir di daerah Raub dan Temerloh, Pahang. Satu ketika dahulu Orang Che Wong suka berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan. Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk memberi kesejaheraan kepada rakyat kini Orang Che Wong sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum. Daerah Raub terdapat 4 buah perkampungan dan daerah Jerantut 1 buah perkampungan Orang Che Wong yang berjumlah keseluruhannya 68 keluarga seramai 417 orang.



Melayu Proto

Orang Proto-Malay tinggal berjiran dengan Orang Melayu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Adat resam dan kebudayaan mereka boleh dikatakan ada persamaan tertentu dengan orang melayu. Kebanyakkan perkampongan mereka kini terletak di dalam:


Kuala

Orang Kuala di percayai berasal dari kepulauan Riau-Lingga dan kawasan yang berhampiran dengan pantai Sumatera, Indonesia. Mereka ini kebanyakannya tinggal menetap di kuala-kuala sungai di pesisiran pantai selatan negeri Johor. Kini Orang Kuala tinggal menetap di daerah Batu Pahat dan di daerah Pontian. Terdapat 315 keluarga Orang Kuala di daerah Batu Pahat dari 5 buah kampung yang berjumlah 1309 orang dan 4 buah kampung yang berjumlah 214 keluarga yang berjumlah seramai 1018 orang di daerah Pontian.


Kanaq

Orang Kanaq terdapat di kawasan pinggir di kampung Selangi, Mawai daerah Kota Tinggi Johor merupakan suku kaum yang terkecil bilangannya iaitu 17 keluarga seramai 65 orang. Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk memberi kesejaheraan kepada rakyat kini Orang Kanaq tinggal menetap di kampung Selangi.


Seletar

Orang Seletar atau “Sea Gypsies” merupakan kumpulan pengembara persisiran pantai dan laut yang tinggal dalam perahu, di pulau, persisiran pantai, dan kuala sungai. Kawasan utama petempatan mereka ialah di persisiran pantai Selatan Johor dan utara Singapura.


Secara tradisinya, mereka bergantung kepada hasil laut. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup berpindah-randah. Walau bagaimanapun perubahan dalam sosio-ekonomi telah merubah cara hidup mereka. Kini mereka tinggal menetap di kawasan petempatan yang lebih teratur dan tersusun di Persisiran Pantai Selat Johor. Mereka juga menangkap ikan menggunakan peralatan moden. Ada di antara mereka yang bekerja di kilang perindustrian.Mereka mengamalkan animisme dan ada di antara mereka yang telah menganut Agama Islam.


Jakun

Bangsa Jakun (Orang Ulu), daripada suku kaum Melayu Asli (Melayu Proto) yang tinggal di selatan Semenanjung, berasal dari Yunan (Selatan Cina). Mereka masih mengamalkan animisme. Kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Mereka percaya kampung mereka akan dilanda bencana sekiranya ada di antara mereka yang melanggar pantang larang.


Semelai

Semelai adalah salah satu Suku Kaum Orang Asli dari suku bangsa Melayu Asli (Proto Malay). Taburan petempatan Orang Asli Semelai terdapat di Pahang Tengah seperti di Tasik Bera, Sg. Bera, Sungai Teriang, Paya Besar dan Paya Badak serta di sempadan Pahang menghala ke Negeri Sembilan seperti di Sg. Serting, Sg. Lui dan Ulu Muar. Dari segi rupa dan bentuk fizikal Orang Asli tidak banyak bezanya dengan Orang Melayu.


Temuan

Orang Asli Temuan adalah dari kumpulan Melayu Asli (Proto Malay). Mereka tinggal di Selangor, Melaka, Pahang, Daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan. Suku Bangsa Temuan di Negeri Sembilan mengamalkan Adat Pepatih dan tidak banyak bezanya daripada adat Suku Bangsa Temuan di negeri lain.



Kesimpulan

Masyarakat Orang Asli pada dasarnya amat marah sekiranya mereka digelar sebagai Sakai, kerana istilah itu seolah-olah meghina mereka, mungkin atas sebab itu di masa kini istilah Sakai telah ditukar kepada istilah Orang Asli yang lebih membawa kebanggaan kepada suku kaum yang mendiami Semenanjung semenjak awal peradaban manusia. Namun agak dikesali kerana terdapat sesetengah individu mendakwa Orang Asli sebagai keturunan Mon-Khmer, berdasarkan kepada klasifikasi yang dinyatakan adalah salah sama sekali dengan mendakwa Orang Asli sebagai keturunan daripada Bangsa Mon kerana bangsa itu adalah bangsa yang berhijrah dari kawasan Selatan China kepada kawasan daratan Asia Tenggara. Asimilasi mungkin berlaku antara kedua suku kaum ini, namun tidak boleh dijadikan perkara tersebut untuk mengemukakan dakwaan sedemikian.


Suku Kaum Sakai inilah yang telah diusir oleh Bangsa Mon-Khmer setelah mereka menduduki kawasan tengah Asia Tenggara.



Rujukan:

  1. http://www.mariafirdz.com/2014/05/sakai.html

  2. http://kakakpintar.com/definisi-ciri-proto-melayu-dan-deutro-melayu-serta-perbedaannya/

  3. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Sakai

  4. http://www.jakoa.gov.my/orang-asli/info-orang-asli/suku-kaumbangsa/


Gambar:

  1. https://thesevenworlds.wordpress.com/2015/10/03/senoi-dreams/

  2. http://www.jakoa.gov.my








bottom of page